JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang jurutera, bulan lalu.
Wong Jian Boon, 32, mengangguk selepas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, Jian Boon, yang bekerja di Singapura didakwa membunuh Tan Chuen Take, 31, di Jalan Cempaka 36/17, Taman Indahpura, Kulai, di antara jam 8 malam hingga 11.30 malam pada 22 Jun lalu.
Tertuduh yang berasal dari Kulai, dekat sini, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Majistret Noor Aisyah Ahmad menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah.
Source: https://api.bharian.com.my/taxonomy/term/11/2016/07/174663/juruteknik-didakwa-bunuh-jurutera
