ASP, 7 polis didakwa rasuah

Lapan anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur atas pelbagai pertuduhan rasuah antara 2013 dan 2016.

Di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, ASP Mohamad Zafrul Zulkifli, 37, dan Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 29, didakwa telah meminta suapan wang tunai, masing-masing RM2,000 dan RM1,500 daripada Kyaw Phone Naing, warga Myanmar sebagai dorongan untuk melepaskan rakan senegaranya, Nang Cherry yang disyaki memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) palsu.

Lans Koperal Mohd Saffuan Mat Salleh, 31, dan Lans Koperal Sokongan Muhammad Huzzaini Esman, 29, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada orang sama bagi tujuan serupa.

Mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis, Daerah Dang Wangi, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di tempat letak kereta di belakang sebuah hotel di Jalan Pudu di Kuala Lumpur antara 6 petang dan 7.30 malam 28 Januari 2016.

Bagi kesalahan meminta rasuah, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 manakala bagi kesalahan memperoleh rasuah, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh diikat jamin masing-masing RM15,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Saffuan dan Muhammad Huzzaini yang diwakili peguam Zainal Omar, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Zafrul menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula bagi kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di hadapan Hakim Madihah Harullah, Koperal Abd Rahim Yusak, 60, yang hadir di mahkamah dengan bertongkat dan Konstabel Mohd Hafis Hafizi Azhari, 26, didakwa bersama-sama meminta suapan wang tunai RM1,500 daripada Alif Faisal Amran.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menyelesaikan saman trafik milik Alif Faisal atas kesalahan memandu dengan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta tidak menahan Mohd Hariz Zaifan Mohd Zanua yang mempunyai rekod dalam Orang Yang Dikehendaki Polis.

\Mereka yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Hafis juga didakwa bersetuju terima suapan wang tunai RM500 daripada Alif Faisal bagi tujuan sama manakala Abd Rahim didakwa menerima wang tunai RM100 daripada Alif Faisal yang dia (Abd Rahim) ketahui Alif Faisal ada hubungan dengan kerja rasminya.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sekitar ibu negara antara 10 malam dan 2.10 pagi, antara 28 September dan 30 September 2013.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 17(A) ASPRM yang memperuntukkan hukuman sama dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 10 April untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Koperal Azuan Khalid, 49 dan Koperal Zulazri Idris, 37, daripada Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju didakwa telah secara rasuah bersetuju terima suapan wang RM1,500 daripada Mohd Shahrunizad Sahar, 30 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga orang pekerja warganegara Indonesia yang tidak memiliki Pas Lawatan (Kerja Sementara).

Azuan dan Zulazri didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan orang kurang upaya, Seksyen 5, Jalan Wangsa Delima 11 di sini pada 9.20 pagi, 15 Disember 2015 mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Sementara itu, Azuan turut didakwa atas dua pertuduhan iaitu telah secara rasuah meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM3,000 dan memperoleh wang tunai RM500 daripada Mohd Shahrunizad sebagai dorongan untuk melepaskan tiga orang pekerja warganegara Indonesia yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu berdekatan Tol Plaza Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), di sini pada 9 pagi 15 Disember 2015 mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM dan di Seksyen 5, Wangsa Maju di ibunegara pada 2.50 petang 17 Disember 2015 mengikut Seksyen 17(a) ASPRM.

\Bagi ketiga-tiga pertuduhan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, bagaimanapun peguam, Mohd Fahmi Mat Rodzi yang mewakili Azuan dan peguam, Mohd Norazihan Adnan yang mewakili Zulazri memohon jaminan terhadap anak guam mereka dikurangkan.

Hakim Azura Alwi membenarkan Azuan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Zulazri diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan.

4 anggota polis didakwa di KK

Sementara itu, empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan memperoleh rasuah daripada orang awam membabitkan nilai RM43,500.

DSP Mohd Mahyuddin Abdullah, 44, dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, didakwa atas tiga pertuduhan rasuah memperoleh wang tunai daripada orang awam.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua Mohd Mahyuddin didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM20,000 dan suatu benda berharga bernilai RM500 daripada Josepin J.Langkan sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menipu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di tempat letak kenderaan dan di dalam Mini Cafe& Bar di Taman Ridgeview, dekat Kota Kinabalu, di antara pukul 9 malam dan 10.30 malam 15 Jun 2016.

Mohd Mahyuddin turut didakwa memperoleh wang tunai RM5,000 daripada Josepin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menipu dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Kolej Yayasan Sabah di antara pukul 9.50 pagi dan 10 pagi 18 Jun 2016.

Sementara itu, tiga anggota dari Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pula didakwa secara bersama memperoleh rasuah RM15,000 daripada Wong Kian Shung sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Dahlia Andreas atas kesalahan positif dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Inspektor Mohd Fa’iz Mohd Yusof, 32; Koperal Elly Boniface@Siu Anak Tugok, 36, dan Koperal Liza Ambau, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik IPD Penampang di antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam, 8 April 2016.

Mohd Fa’iz turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan memperoleh wang tunai RM3,000 daripada Zaleha Brahim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Rinciah Labik atas kesalahan positif dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat letak kereta berhampiran Restoran Nikmat Pekan Donggongon dekat Kota Kinabalu pada 9 dan 10 Februari 2016.

Mohd Mahyuddin dan Mohd Fa’iz didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala Elly Boniface dan Liza masing-masing didakwa menurut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd Mahyuddin; Mohd Fa’iz (RM15,000), Elly Boniface (RM10,000) dan Liza RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta, menetapkan 26 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan terhadap Mohd Mahyuddin dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozana Abdul Hadi dan tertuduh diwakili peguam PJ Perera.

Pendakwaan tiga lagi tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rustam Sani dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

2 anggota polis didakwa di Shah Alam

Sementara itu, dua anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki tahun lepas.

Asisten Supritenden Mohamad Foad Tugiah@Paimin, 37, dan Koperal Mohamad Afif Abdullah, 36, didakwa menerima wang berkenaan dari seorang pembantu am syarikat pinjaman wang berlesen.

Kedua-dua tertuduh yang masih berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya didakwa menerima rasuah itu sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki terbabit yang memegang kad bank peminjam dan kononnya melakukan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan 2011).

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan perbuatan itu di sebuah pejabat di Subang Jaya pada kira-kira 5.50 petang, 26 Februari tahun lepas.

Kedua-dua tertuduh yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan Polis Diraja Malaysia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Mohamad Foad dan Mohamad Afif boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Shah Alam pada Isnin pertama setiap bulan.

Beliau menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamed Heikal Ismail dan Mohamad Foad diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar serta P.G. Cyril manakala Mohamad Afif diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan.

– Bernama

Source: https://www.malaysiakini.com/news/375118

Messrs. Ashraff Al-Hirzan & Associates is a dynamic and versatile law firm providing comprehensive legal services across a wide spectrum of practice areas.
Office Hours
Monday – Friday

9.00AM – 6.00PM

CONTACT US
Copyright © 2024 – ASHRAFF AL-HIRZAN & ASSOCIATES. All rights reserved. | Designed by Mitechweb