Kes rogol budak 12 tahun: Tiga remaja mengaku tidak bersalah

MUAR: Tiga termasuk dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur pada Julai dan minggu lalu.

Ketiga-tiga mereka ialah Muhammad Ammar Zikry Mohd Izrak dan Muhammad Anaqi Lukmanulhakim masing-masing berusia 18 tahun manakala Muhammad Daniel Haikal Helmi Effero, 20  mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi yang juga tertuduh pertama dan kedua manakala Muhammad Daniel Haikal, sebagai tertuduh ketiga dengan masing-masing berhadapan satu pertuduhan merogol.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi didakwa merogol kenalan perempuan berusia 12 tahun dalam kebun sawit dekat Sri Gading, Batu Pahat pada jam 11.30 malam.

Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Muhammad Daniel Haikal didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Batu Pahat pada jam 8.30 malam, pertengahan bulan lalu.

Lepasan sijil kemahiran itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara  maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala Muhammad Ammar Zikry diwakili Aqmarul Aqil Ismail.

Aqmarul Aqil Ismail turut mewakili Muhammad Anaqi dan Muhammad Daniel Haikal namun hanya sebagai pro-bono untuk jaminan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM25,000 terhadap Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi manakala Muhammad Daniel HaikaL, RM20,000.

Aqmarul Aqil kemudian memohon mahkamah supaya meringankan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dengan mengambil kira rekod pencapaian akademik dan kokurikulum.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat supaya semua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa serta keluarganya.

Source: https://www.buletintv3.my/mahkamah/kes-rogol-budak-12-tahun-tiga-remaja-mengaku-tidak-bersalah/

Messrs. Ashraff Al-Hirzan & Associates is a dynamic and versatile law firm providing comprehensive legal services across a wide spectrum of practice areas.
Office Hours
Monday – Friday

9.00AM – 6.00PM

CONTACT US
Copyright © 2024 – ASHRAFF AL-HIRZAN & ASSOCIATES. All rights reserved. | Designed by Mitechweb